Salam...lme da x update blog ni...emm..sbnr nye auni bce artikel ni...auni ske bce artikel ni...memandang kn auni pn kne MUSIBAH..skurg2nye artikel ni ley mengingat kn diri auni...so ble da de dlm blog ni...ley la auni bce sll...tok peringatan sepanjg hayat...insyaAllah..smbil2 2 ley share ngn sume...
=)
Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa
melindungi kehidupan kita. Kalimah "Bismillahir Rahman nir Rahim" –
dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa
menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan,
kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil
kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan
Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?
Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin
bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan.
Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi
Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya
tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah.
Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah.
Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan
beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap
perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat
bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal
dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di
sebalik cubaan dan bala yang menimpa.
Justeru seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata,
"Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam
takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata
hati seseorang." Tegasnya, apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik
walaupun kelihatannya pahit. Beliau berkata lagi, "Bila Allah menguji
orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati,
dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu
petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek."
Untuk mencari hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih
dahulu bahawa musibah adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa
manusia. Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada
siapa pun dapat menghindarkannya kerana hidup ini hakikatnya adalah satu
ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji.
Firman Allah s.w.t.:
"Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya."(Surah al-Mulk: 3)
Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala
sesuatu yang tidak disukai oleh manusia berupa kematian, kesakitan,
kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan dan lain-lain. Jadi, Allah
pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai (musibah). Kita
tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati?
Kita benci kesakitan, tetapi itulah adalah lumrah hidup. Lalu hati kita
bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi
Allah. Terutamanya Allah hendak menilai (walaupun hakikatnya Allah maha
Mengetahui) sejauh mana hati kita. Sesungguhnya, Allah menilai hati
kita dan amalan kita.
Sabda rasulullah SAW:"
Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu."
Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati
kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian
kita. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai
dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Oleh itu
iman dan ujian saling berkaitan. Lebih tinggi tahap keimanan seseorang
semakin berat ujian yang diterimanya.
Apa¬bila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu.
Firman Allah s.w.t.:
"Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan
sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum
diuji?"(Surah al-Ankabut: 2)
Namun begitu, perlu diketahui bahawa Allah menguji orang Islam atas
sebab-sebab yang berbeza yakni mengikut tahap hubungan mereka dengan
ALLAH. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan
seseorang manusia. Ujian yang berlaku kepada manusia sama ada
memuliakannya atau menghinakannya.
Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau
yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah
dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi
Allah. Benarlah seperti yang selalu diungkap"... it's not what happens
to you, but it's what you do about it." Bukan kerana apa yang berlaku
kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya. Jadi
amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan
Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah
yang menimpa mereka sama. Ya, kita tidak boleh mengelakkan diri daripada
musibah tetapi kita mampu mengubah musibah itu menjadi satu kebaikan
sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan bertindak selaras dengan
hikmah tersebut.
Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya
musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan
diri orang yang menerimanya dan bagaimana mereka bertindak ketika
menghadapi musibah tersebut.
1. Kifarah.
Yakni musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur
melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu.
Maka musibah itu diturunkan sebagai "tebusan" untuk meng¬hapus¬kan dosa
dan ketelanjuran itu. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia
untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini lebih baik kerana
azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.Ringkasnya,
kifarah adalah ujian untuk "orang baik yang terbuat jahat". Dengan ujian
itu, "orang baik" tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas
kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada
Allah.
Firman Allah s.w.t.:
"Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar." (Surah al-Zukhruf, 43: 48)
Firman Allah swt:
"Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di
antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak
demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana
yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran." Al A'raf 168
2. Bala.
Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan.
Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum
lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan
dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang
yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.
Ringkas¬nya, bala ialah bentuk ujian ke atas "orang jahat yang buat
jahat". Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir'aun yang
ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang
ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi
sebelum merasai pula seksa di akhirat.
Firman Allah s.w.t.:
"Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah
akan meng¬azab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di
akhirat."(Surah al-Tawbah, 9: 74)
Firman Allah lagi:"maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa
disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan
kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara
keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke
dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah
sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang
menganiaya diri mereka sendiri." Al Ankabut: 40
3. Ibtila'
Yakni musibah ke atas orang baik ketika melakukan ke¬baikan. Ia
adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru
dengan ibtila' hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan
darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan
mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah,
pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.
Justeru jika tidak diuji,
bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur,
reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada
di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi
Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – yakni mereka
yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.
Ringkasnya, ibtila' ialah ujian ke atas "orang baik yang buat baik".
Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang
sentiasa diuji dalam bentuk ibtila' ini khususnya ketika mereka berjuang
menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap
mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:
"Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada
kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang
terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan
dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya
merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif
kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian
itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau
mengadih, "kenapa aku yang kena?" sebaliknya mereka akan berkata, "aku
telah terpilih."Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi
Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.
Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar
itu diganjari dengan pahala tanpa hisab.Bagi mereka yang syahid pula,
Rasulullah saw telah bersabda:"Akan diampuni bagi orang yang mati syahid
setiap dosanya kecuali hutang." (HR Muslim).
Atas dasar itulah sebahagian ulama salaf berkata:"Andaikan tidak ada
musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa
pahala."Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa
musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah
dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk
kebaikan.
Jika orang baik mendapat peningkatan darjat bila menerima
musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan
musibah (kafarah) yang diterimanya. Rasulullah saw bersabada:"Tidaklah
seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu,
kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebagaian dosanya." (HR
Bukhari dan Muslim.)
Tanpa menuding jari kepada sesiapa maka kita harus bermuhasabah
terhadap diri sendiri, ketika ditimpa musibah kita di golongan yang
mana? Golongan yang diuji secara ibtila', kafarah atau bala? Paling
tidak tidaknya, biarlah kita diuji secara kafarah, yang dengannya kita
akan menyegerakan taubat kepada Allah. Tagihlah janji Allah ini:"Dan apa
sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan
tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar dari
kesalahan-kesalahanmu." Syura: 30
Itulah antara hikmah terbesar di sebaliknya datangnya musibah. Yang
dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh hamba Allah yang taat, tetapi juga
hamba yang menderhakai-Nya. Maka daripada dimensi pemikiran inilah kita
harus melihat apa di sebalik musibah demi musibah yang menimpa umat
Islam kini.
Umat Islam telah dibunuh, dijajah, dirogol, ditimpa pelbagai bencana
alam seperti tsunami, banjir besar dan lain-lain. Musibah ini dideritai
oleh semua umat, tidak kira yang derhaka atau yang taat menepati apa
yang telah ditegaskan Allah menerusi firman-Nya:
"Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus
menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketauilah
Allah amat keras seksaan-Nya." Al Anfal 25
Semua musibah itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar
kembali kepada Allah – beriman dan menegakkan hukum-hakam-Nya dalam
seluruh aspek kehidupan. Firman Allah:
"Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada
umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan
menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada
Allah dengan tunduk merendah diri." Al An'am 42.
Malangnya, sebahagian besar umat Islam masih berdegil. Justeru, tidak
mustahil Allah akan terus "membersihkan" bumi Afghanistan, Iraq,
Khasmir dan Palestin daripada terus dihuni oleh insan-insan derhaka
melalui musibah sama ada yang berbentuk iblita', kafarah atau bala.
Kematian, kehancuran dan penjajahan akan terus berlaku. Insya-Allah
setelah dunia Islam "dibedah" dan orang-orang jahat yang umpama "barah"
yang menanah itu dikeluarkan, maka barulah muncul generasi yang lebih
bersih, kuat dan beriman.
Dan hanya pada ketika itu dua golongan umat
Islam – pertama mereka yang diuji secara ibtila' dan kedua, mereka yang
kembali bertaubat bila diuji secara kafarah, akan mendapat bantuan
Allah untuk menggerakkan satu kebangkitan baru Islam yang lebih kuat dan
bertenaga.
Akhirnya, perlulah diketahui bahawa rahsia kejayaan para rasul dalam
misi perjuangan mereka ialah kerana mereka sentiasa mendapat bantuan
daripada Allah. Untuk itu mereka berusaha melalui dua dimensi. Pertama,
dimensi lahiriah yakni dengan memerah tenaga, fikiran dan menyediakan
kekuatan material dan fizikal. Kedua, dimensi rohaniah yakni dengan
melakukan amalan taat dan meninggalkan maksiat. Hasilnya, mereka dapat
mengalahkan musuh yang lebih ramai, kuat, dan kaya daripada mereka.
Firman Allah s.w.t.:
"Berapa banyakgolongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah."
Musibah yang berlaku ke atas umat Islam di serata dunia sesungguhnya
membawa hikmah yang besar apabila dilihat dengan mata hati. Pada
zahirnya, negatif tetapi secara tersirat ia membawa seribu satu hikmah
dan pengajaran. Dalam apa jua keadaan, susah mahupun senang, orang yang
beriman akan mendapat kebaikan.
Rasulullah s.a.w. bersabda:"
Perumpamaan orang yang beriman
apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu
hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!"
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:
"Amat menarik hati keadaan orang
beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang
beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu
memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia
sabar dan itu juga memberikannya kebaikan." – Al Hadis.
Ya, yang penting dalam musibah yang menimpa umat Islam kini ialah
bagaimana kita bangun kembali setelah diuji. Kata bijak pandai: "
It is not how low you fall but how high you bounce back!"
Tegasnya, musibah-musibah yang datang bertubi-tubi ke atas umat Islam
kini ialah untuk menyerlahkan siapakah di antara kita umat Islam sebenar
dan siapa pula umat Islam yang menyamar?
Hanya umat Islam yang benar-benar berpegang dan mengamalkan kebenaran
sahaja akan diberi kemenangan dalam menghadapi musuh-musuhnya. Musibah
adalah kaedah Allah untuk menyerlahkan siapa yang benar itu. Mereka yang
memohon keampunan lalu diberikan keampunan dan dibebaskan daripada
kesempitan.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang memperbanyakkan
istighfar, maka Allah akan membebaskannya dari kesedihan, dan memberi
jalan keluar bagi kesempitannya dan akan memberi brezeki dari arah yang
tidak disangka-sangkanya." HR Abu Daud.
2 la artikel yg auni rse can give me some motivation to myself....hope korg pn gse cm pe auni gse...nk bce ulang2 pn xpe...tol x?
mse ngah update blog ni...smbil2 2 auni on9 fb...de plak owg yg post ayt ni...cm tau2 je title kli ni de kne mngena...huhuhu...
"Allah
menguji kita dengan sesuatu yang sangat kita sayang, kita diberi cubaan
dengan kehilangan, Allah menguji kita dengan sebuah impian yang amat
kita harapkan, kita terduduk berlinang airmata saat impian kecundang,
sesungguh DIA lah pemberi segala, kerana segalanya kepunyaan-Nya.
Saat ditariknya nikmat yang ada, DIA sedang mengaturkan untuk KITA
sesuatu yang lebih berharga. Jangan bersedih, Allah s.w.t telah
mengaturkan sesuatu untuk kita jika kita sentiasa berdoa pada-Nya dan
berbuat baik selalu.."
Apapun yg terjadi...aku akn tetap berjalan...
DAN
Sepahit apapun rasanya akan tetap ku telan...